Monday 26 September 2011

Mesyuarat Yayasan PENGAMAN Malaysia Bersama Kementerian Dalam Negeri

Pada 13 September 2010 (Selasa) , Yayasan Pengaman Malaysia telah berkunjung ke Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya bagi menghadiri mesyuarat khas bersama dengan Menteri Dalam Negeri, YAB Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein  dengan wakil-wakil Polis Diraja Malaysia, pesara Polis dan pesara Tentera. Agenda yang dibincangkan pada mesyuarat ini adalah mengenai tentang langkah-langkah yang boleh diambil bagi membidas kenyataan Mat Sabu mengenai Tragedi Bukit Kepong di samping meningkatkan usaha mewujudkan semangat patriotik masyarakat Malaysia. Dalam perbincangan ini juga, YAB Dato Seri Hishamuddin juga menggalakan penglibatan yang lebih daripada bekas polis dan tentera dalam isu berbangkit yang melibatkan imej dan reputasi pasukan pengaman di Malaysia di samping keperluan yang utama bagi menjaga kebajikan pesara-pesara tentera dan polis.   

Monday 12 September 2011

Kerana Mulut Badan Binasa

Kenyataan Naib Presiden PAS, Mat Sabu mengenai isu bukit kepong telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai. Segenap lapisan masyarakat mengutuk dan mengecam kenyataan Mat Sabu yang dianggap tidak berasas dan tidak 'directive'. Tuduhan yang dilemparkan ke atas pejuang-pejuang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkorban ketika berkawal di Balai Polis Bukit Kepong 7 tahun sebelum merdeka itu sewajarnya menerima padah apabila lebih daripada 250 laporan di buat di seluruh negara.

Mat Sabu dalam kenyataanya yang melabelkan pengganas komunis yang menyerang dan membakar Balai Polis Bukit Kepong sebagai hero sememangnya suatu kenyataan yang menghina dan mencalit luka yang sungguh dalam buat seluruh bekas Pasukan Polis Diraja Malaysia. Bagi Yayasan Pengaman Malaysia, Kenyataan itu sememangnya melampau seolah-olah pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan PDRM adalah sia-sia manakala serangan kejam yang dilakukan oleh komunis adalah sesuatu yang harus disanjung. 

Bukit Kepong ditawan setelah pertempuran yang berlaku mengorbankan 25 anggota polis yang berkawal di sekitar balai tersebut. Komunis sewaktu serangan sememangnya berperilaku sangat kejam kerana selain turut membakar balai polis, mereka juga membunuh anggota polis dengan cara membakar mereka hidup-hidup dan mencampak anggota yang tercedera ke dalam api selain turut mencederakan isteri dan anak-anak anggota polis. Sekiranya Mat Sabu memuji tindakan komunis ini, maknanya, secara tersiratnya, Mat Sabu bersetuju juga lah dengan kekejaman yang dilakukan mereka.

Sebelum Mat Sabu boleh mengeluarkan kenyataan ini, Mat Sabu perlu mendalami fakta sejarah, berfikir dan menilai sendiri. Perasaan ahli keluarga yang terlibat perlu dijaga di samping mengenang jasa mereka yang mempertahankan keamanan penduduk setempat yang rata-rata ketika menjadi porak peranda disebabkan kekejaman pihak komunis ketika itu yang menindas masyarakat tempatan dengan mengerah hasil pertanian, dan perniagaan di samping mencederakan, menyeksa dan membunuh mereka. Sekiranya Mat Indera berkomplot dengan komunis itu dilabel sebagai hero, maka seluruh komunis juga dianggap hero oleh Mat Sabu. Faktanya jelas, cuba kita bayangkan situasi ini, adakah Mat Indera hanya berdiam diri dan melihat sahaja kekejaman komunis berlaku di kalangan rakan-rakanya tanpa melakukan sesuatu. Di mana sifat 'hero' Mat Indera yang dikatakan oleh Mat Sabu?? bagaimana pula 'hero' dalam situasi ini? 

Jadi, kami merasakan kenyataan ini sememangnya dibuat atas kepentingan politik semata-mata dan kerana itu, fakta diputar-belitkan. Tindakan ini adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan kami di Yayasan Pengaman Malaysia, mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan tersebut. Pasukan Polis Diraja Malaysia secara keseluruhannya mempertahankan keamanan rakyat dan sememangnya itu sudah menjadi tanggungjawab warga Polis Diraja Malaysia. Kami sememangnya berharap agar Mat Sabu menarik balik kenyataanya dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khusunya kepada pihak ahli keluarga tragedi, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) samada yang masih berkhidmat ataupun yang telah bersara.

Al-fatihah kepada mereka yang terkorban.


Friday 9 September 2011

Pengenalan Yayasan Pengaman Malaysia



Yayasan Pengaman Malaysia ditubuhkan pada 12 Mei 2011 sebagai sebuah NGO berorientasikan misi yang menggabungkan kerjasama di antara pesara pegawai kanan polis, pertubuhan-pertubuhan kebajikan pesara polis dan para pemimpin NGO dan CSO tempatan.

Yayasan Pengaman Malaysia mempunyai misi untuk mengeratkan kerjasama sektor swasta-awam bagi memperjuangkan kebajikan pesara PDRM, menjana idea ke arah kecemerlangan PDRM dan menyumbang kepada keselamatan dan kemajuan negara.

Selaras dengan misi yang ditetapkan, PENGAMAN bergerak berlandaskan objektif berikut;


  • Memberi input dan mendapatkan sokongan dari pemimpin kerajaan di peringkat kabinet dan pelbagai agensi. 
  • Memperkaya perspektif dan proses penjanaan idea menerusi kerjasama dengan pelbagai kumpulan akademik dan profesional. 
  • Mobilisasi penyertaan rakyat menerusi kerjasama pelbagai NGO dan CSO. 
  • Mengukuhkan kedudukan kewangan menerusi aktiviti pelaburan dan inisiatif keusahawanan sosial.
  • Menggalakkan sumbangan CSR daripada sektor korporat. 
Pengaman kini memperjuangkan agenda 6K sebagaimana berikut; 
    1.  Kebajikan Pesara PDRM
    2. Kecemerlangan institusi PDRM
    3. Kestabilan politik demi keharmonian kaum, keamanan, dan kemajuan ekonomi
    4. Keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang
    5. Komunikasi media berorientasikan kebenaran
    6. Keutuhan persahabatan dan keamanan serantau
PENGAMAN kini giat menangani inisiatif strategik berikut; 

  • Meningkatkan status sosio-ekonomi pesara PDRM
  • Memperjuangkan kecemerlangan institusi PDRM menerusi kerjasama awam dan swasta
  • Memberi maklum balas kepada kerajaan berkaitan isu-isu politik supaya tidak menjadi konflik dan krisis yang menggugat keharmonian kaum, keamanan negara dan kemakmuran ekonomi. 
  • Memupuk budaya 'law abiding citizenry' menerusi pendidikan dan khidmat nasihat. 
  • Memanfaatkan media baru dan media sosial sebagai sumber maklumat yang tepat dan bebas dari fitnah dan maklumat palsu
  • merintis agenda diplomasi awam bagi menangani isu isu serantau seperti isu perdagangan manusia dan kebajikan pekerja asing. 
Mekanisma Bertindak

  • Majlis ALUMNI PDRM
  • Majlis Kecemerlangan PDRM
  • Majlis Maklumbalas Parlimen
  • Majlis Peguam PENGAMAN
  • Majlis Tindakan Media
  • Majlis Diplomasi Awam
Bentuk Kegiatan 

  • Seminar, Dialog, dan Perhimpunan
  • Penerbitan
  • Kajian Dan Kertas Dasar
  • Pasukan Bertugas
  • Agenda Media Cetak, Elektronik Dan Media Baru
  • Kerjasama Awam-Swasta
  • Skim Kebajikan dan Pekhidmatan

Untuk sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut, sila hubungi ;

YAYASAN PENGAMAN MALAYSIA
Unit 12-26, No 7, Maytower
Jalan Munshi Abdullah
50100, Kuala Lumpur
Tel: 03-41474916-03-41474918
Fax: 03-41474899
Email: pengaman@thecsrhub.com/ pengaman.malaysia@gmail.com

Mat Sabu Perlu Minta Maaf (Sumber Utusan Malaysia 9 September 2011)


SHAH ALAM 8 Sept. - Suara bantahan terhadap kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu bahawa gerombolan penyerang Balai Polis Bukit Kepong dalam peristiwa berdarah pada 1950 adalah hero sebenar dan pejuang kemerdekaan semakin memuncak.

Bekas pesara polis berjawatan tinggi hari ini mula membuka mulut selepas memantau perkembangan sejak tercetusnya isu pada penghujung Ramadan lalu yang menyaksikan Mohamad Sabu dan Pas terus mempertahankan kenyataan beliau.

Kenyataan itu mengguris hati sekurang-kurangnya tiga juta suara yang mewakili bekas anggota keselamatan, orang awam dan sanak-saudara mereka yang menjadi mangsa kekejaman komunis.

Pengerusi Yayasan Aman Malaysia, Tan Sri Samsuri Arshad yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Negara menegaskan, pihaknya mahu Mohamad Sabu meminta maaf atas kenyataannya itu dan jangan lagi berdolak-dalik.


"Kami menuntut Mohamad Sabu atau Mat Sabu meminta maaf kepada semua keluarga polis yang mati dalam serangan Bukit Kepong dan pergi (menziarahi) pusara anggota polis dan keluarga mereka yang meninggal dunia dan menghadiahkan Al-Fatihah sebagai bukti Mat Sabu menyesal dengan ucapan beliau itu.

"Kami ingin menyatakan bahawa sebagai pesara polis kami sudah bosan, meluat dan marah dengan pembohongan dan manipulasi serta putar-belit seorang pemimpin Pas iaitu Mat Sabu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Aman Malaysia; bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Jamil Johari; bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Zulkifli Abdul Rahman dan bekas Ketua Polis Balai Daerah Pagoh, Datuk JJ Raj.






Menurut Samsuri, pada pandangan pesara polis dan daripada pengalaman mereka dulu, Mat Sabu ialah rebel rouser iaitu seorang yang cenderung membakar dan menghasut rakyat ke arah pemberontakan atau revolusi.

"Daripada pengakuannya dalam sidang akhbar, beliau mengakui amat meminati Ayatullah Khomeini yang diketahui sebagai pencetus revolusi di Iran. Kami akan bongkar lebih lanjut tentang personaliti Mat Sabu sebagai rebel rouser dalam satu sidang akhbar khusus kelak setelah mengumpul data dan fakta mengenai siapa Mat Sabu sebenarnya.
"Mat Sabu sejak kebelakangan ini semakin rancak melakukan penipuan dan putar-belit fakta. Untuk kepentingan politik, Mat Sabu sanggup berdusta malah memperlekehkan serta menghina perjuangan dan pengorbanan polis," katanya.
Tambah beliau, ucapan Mat Sabu sebagai rebel rouser bukan dilihat dari segi siapa Mat Indera iaitu lelaki Melayu yang turut serta dalam serangan ke atas anggota polis di Bukit Kepong dan juga bukan dari aspek membetulkan fakta sejarah sebaliknya itu semua hanya helah politik.

"Di belakang ucapan Mat Sabu adalah kenyataan berbentuk hasutan, hendak menyampaikan mesej bahawa komunis yang membunuh polis ialah hero. Dalam erti kata lain, Mat Sabu mahu menghasut rakyat bahawa untuk menjadi seorang hero (wira) adalah membunuh polis dengan cara besar-besaran. Itu soal pokok yang tersirat dalam fikiran Mat Sabu," katanya.

Justeru, beliau mahu siasatan dibuat terhadap Pas untuk mengetahui sejauh mana ideologi dan pengaruh komunis menyusup masuk ke dalam parti itu menerusi Mat Sabu.
"Setakat ini Pas tidak membuat kenyataan mengutuk Mat Sabu mahupun mengutuk komunis. Maka kami ingin bertanya adakah idealisme negara berkebajikan Pas sebenarnya adalah sistem negara sosialis berteraskan komunisme," soalnya.

(Sumber: Utusan Malaysia 9 September 2011)